• Berita
  • PROGRAM SCHOOL@UniSZA BENGKEL QIMMATUL JUHDI BAHASA ARAB SPM 2018

PROGRAM SCHOOL@UniSZA BENGKEL QIMMATUL JUHDI BAHASA ARAB SPM 2018

BENGKEL QIMMATUL JUHDI BAHASA ARAB SPM 2018

Bahasa Arab merupakan mata pelajaran bahasa teras bagi pelajar Sekolah Menengah Agama selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Arab dilihat sebagai asas penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar Pengajian Islam kerana sebilangan besar sumber ilmu Pengajian Islam adalah dari buku atau kitab berbahasa Arab. Menyedari hakikat ini, maka strategi-strategi bagi mencapai matlamat peperiksaan SPM disusun sebaik mungkin selaras dengan misi sekolah dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

            Program kerjasama Panitia Bahasa Arab Sekolah Menengah Agama Khairiah Kuala Terengganu (SMAKH) dengan UniSZA ini merupakan satu program yang julung-julung kali dilaksanakan. Berdasarkan keperluan ini, SMAKH merangka Bengkel Qimmatul Juhdi Bahasa Arab SPM bagi 179 orang calon SPMnya yang dilangsungkan di Dewan Auditorium Bangunan Akademik Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus Gong Badak pada hari Sabtu, 4 Ogos 2018. Tanggungjawab ini telah diberikan kepada Panitia Bahasa Arab Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) tersebut dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) UniSZA. Seramai 5 orang guru ditugaskan untuk mengawal selia program tersebut dengan seorang penceramah jemputan dari UniSZA iaitu Ust Mohd Fauzi Abd Hamid, Pensyarah Bahasa Arab Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA.

            Program ini rancang untuk mencapai sasaran 100 % lulus matapelajaran Bahasa Arab SPM nanti di samping menuju ke arah pencapaian prestasi kurikulum yang cemerlang supaya dapat melayakkan pelajar-pelajar menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi serta melahirkan pelajar yang bertaqwa, berakhlak mulia dan sentiasa berbakti kepada diri, keluarga, sekolah, masyarakat dan negara dimana sahaja berada. Pihak sekolah juga berharap dengan penganjuran program ini dapat mensifarkan pencapaian gagal (G) iaitu seramai 71 orang memperolehi gagal daripada 188 orang pelajar bagi Bahasa Arab berdasarkan Peperiksaan Pertengahan Tahun baru-baru ini.

            “Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PJIM dan UniSZA kerana memberi peluang kepada anak-anak kami menggunakan segala kemudahan UniSZA dalam merealisasikan impian kami.” harapan Ustazah Rosmani Binti Mohamad, Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa Arab SMAKH, yang begitu teruja bila julung-julung kali berpeluang membawa pelajar-pelajarnya ke UniSZA.

Justeru, melalui penganjuran program ini dapat menyuburkan semangat kecintaan dalam bahasa Arab dan memantapkan kemahiran dan penguasaan dalam menjawab soalan yang berkaitan dengan kertas 1 dan kertas 2. Juga pengharapan yang memberi impak besar kepada calon-calon SPM tahun 2018 agar memberi satu bi’ah yang baharu kepada pelajar seterusnya menjadi motivasi kepada mereka untuk berusaha menjejaki tangga menara gading.