• Berita
  • LAPORAN KHIDMAT NASIHAT PRODUK INOVASI SEKOLAH IMTIAZ KUALA BERANG DI MAKMAL ANALISIS KIMIA MAKANAN, UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN, KAMPUS PERUBATAN

LAPORAN KHIDMAT NASIHAT PRODUK INOVASI SEKOLAH IMTIAZ KUALA BERANG DI MAKMAL ANALISIS KIMIA MAKANAN, UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN, KAMPUS PERUBATAN

Laporan Khidmat Nasihat Produk Inovasi ECER

Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang telah mendapatkan khidmat nasihat dari Universiti Sultan Zainal Adidin (UniSZA) pada 8 Ogos 2018 bertempat di Makmal Analisis Kimia Makanan, Kampus Perubatan untuk produk inovasi mereka yang akan dipertandingkan dalam Pertandingan Inovasi di antara sekolah-sekolah. Seramai sepuluh (10) orang pelajar yang terbahagi kepada dua (2) kumpulan yang terdiri daripada lima (5) orang pelajar tingkatan satu dan lima orang pelajar tingkatan empat (4) telah berkunjung ke UniSZA dengan diiringi oleh empat (4) orang guru pengiring.

Pelajar-pelajar tersebut berpeluang menggunakan kemudahan di makmal dan mendapatkan khidmat nasihat untuk menambahbaik produk inovasi mereka. Selain itu pelajar juga dapat berkongsi idea bagi menghasilkan produk yang bermutu. Khidmat nasihat produk inovasi tersebut telah disampaikan oleh Encik Roslan Arshad, Pegawai Sains dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM).

Pelajar-pelajar tersebut telah mencipta dua produk inovasi iaitu Paper Cutter dan Multipurpose Remover. Paper Cutter yang dicipta oleh pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang telah menggunakan aloe vera sebagai bahan semulajadi yang digantikan sebagai dakwat pen untuk memotong kertas. Tujuan Paper Cutter ini adalah untuk mengelakkan bahaya kepada kanak-kanak semasa menggunakan alatan tajam seperti gunting dan pisau.

Manakala produk kedua dicipta oleh Pelajar Tingkatan 4 iaitu Multipurpose Remover. Multipurpose Remover ini dicipta menggunakan bahan semula jadi seperti cuka, lemon, limau nipis untuk menggantikan bahan kimia yang biasa digunakan sebagai remover. Produk ini berasaskan bahan semulajadi supaya tidak membahayakan pengguna. Produk ini dicipta untuk memudahkan penanggalan dakwat pada permukaan seperti meja, dinding, tangan dan lain- lain.