• Berita
  • KARNIVAL CITRA BAHASA SKK PERINGKAT KEBANGSAAN 2018

KARNIVAL CITRA BAHASA SKK PERINGKAT KEBANGSAAN 2018

Karnival CItra Bahasa SKK

14 Julai 2018. SK Gong Badak telah menganjurkan Karnival Citra Bahasa SKK Peringkat Kebangsaan 2018 dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin yang berlangsung di Dewan AL-Muktafi Billah Shah, UniSZA. Karnival ini disertai oleh 150 orang murid dan 64 orang guru pengiring dari 19 buah Sekolah Kluster Kecemerlangan seluruh Malaysia iaitu 5 buah sekolah dari Terengganu, 4 buah dari Pahang, 3 buah dari Negeri Sembilan dan masing-masing sebuah sekolah dari Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Sabah, Johor dan Perak, melibatkan 7 jenis acara yang berjalan serentak iaitu pertandingan syair, sajak, bercerita tahap 1, dam ular bahasa, roda kata, susun kata, eja tepat dan bengkel penulisan kreatif yang menjemput penulis buku.

Program ini mendapat pengiktirafan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif yang turun merasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada para peserta. Pihak UniSZA memberikan kemudahan penggunaan 9 bilik kuliah dan Dewan Al-Muktafi Billah Shah di samping memberikan khidmat perundingan dalam melaksanakan program ini. Turut hadir ke karnival ini Pengarah JPNT, Pegawai PPD Kuala Nerus, para Guru Besar Sekolah Kebangsaan Daerah Kuala Nerus, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat UniSZA dan En. Wan Ismail bin Wan Abdullah Pegawai Penyelaras Program Jalinan SKK-UA, UniSZA serta pegawai-pegawai Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat UniSZA.

Penganjuran karnival kali ini bertujuan memotivasikan SKK untuk memupuk semangat kerjasama dan berdikari serta meningkatkan motivasi dan keyakinan diri setiap peserta, melahirkan murid yang berdaya kreatif, kritis dan berketerampilan berbahasa, membantu murid menguasai aspek sintaksis dalam pembinaan ayat yang gramatis, meningkatkan penguasaan kosa kata murid dan membentuk murid yang boleh menghargai keindahan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Ia turut dijadikan medan mempromosikan negeri Terengganu Darul Iman sebagai produk pelancongan kepada peserta-peserta terlibat.

Keputusan pertandingan bagi semua acara mencatatkan kategori Bercerita Tahap Satu telah diungguli oleh SK Gong Badak Terengganu, Dam Ular Bahasa dimenangi oleh SK Seri Sabak Uni, Johor, Susun Kata, SK Bandar Pusat, Pahang, Roda Kata, SK Tengku Azizah Pahang, Eja Tepat, SK Tapak Negeri Sembilan, Syair, SK Kaluluan Sabah manakala kategori Sajak di menangi oleh SK Taman Seroja, Selangor.

Antara impak positif karnival ini adalah dapat menguatkan penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid dan menjalinkan hubungan silaturahim yang erat antara guru dan murid terlibat.