• Berita
  • SIJIL PENGIKTIRAFAN MS ISO/IEC 17025 AKREDITASI MAKMAL ANALISIS KIMIA MAKANAN ECER-UniSZA

SIJIL PENGIKTIRAFAN MS ISO/IEC 17025 AKREDITASI MAKMAL ANALISIS KIMIA MAKANAN ECER-UniSZA

Makmal Analisis Kimia Makanan (Food Chemistry Analysis Laboratory) ECER-UniSZA, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mendapat pengitirafan antarabangsa sebagai sebuah makmal bertaraf dunia setelah menerima Sijil MS ISO/IEC 17025 dari Jabatan Standard Malaysia (JSM) pada 3 Mei 2018 bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Sijil akreditasi Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) yang berdasarkan StandardMS ISO/IEC 17025:2005 bertarikh 5 Februari 2018 itu telah disampaikan olehEn. Shaharul Sadri bin Alwi, Pengarah Bahagian Akreditasi, Jabatan Standard Malaysia kepadaProf. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi bin A. Latif, Naib Canselor UniSZA dalam satu majlis ringkas di Pejabat Naib Canselor UniSZA..

Makmal Analisis Kimia Makanan adalah satu-satunya makmal di dalam UniSZA yang telah menerima akreditasi di bawah SAMM. Makmal ini telah menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh MS ISO/IEC 17025:2005 ‘General Requirements for the Competence of Testing and Calibration Laboratories’ yang ditentukan oleh Jabatan Standard Malaysia. Sistem pengurusan makmal yang dilaksanakan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ini kerana makmal ini mempunyai staf yang berkemampuan dan terlatih, melaksanakan garis panduan dan kaedah pengujian yang ditetapkan bagi memastikan keputusan ujian mempunyai ketetapan tinggi dan boleh dipercayai.

Sesebuah makmal itu diakui mempunyai kompetensi dalam aktiviti pengujian dan pengurusan kualiti dan dapat memberikan keputusan pengujian yang diyakini serta kredibel. Keyakinan klien atau pengguna terhadap perkhidmatan pengujian yang diberikan oleh makmal akan meningkat. Ini sudah tentunya akan memberikan kelebihan kepada makmal tersebut kerana makmal yang mempunyai kepakaran dan kebolehan teknikal akan menjadi pilihan, sekali gus dapat mengurangkan risiko perkhidmatan pengujian yang tidak tepat. Seperti kita semua sedia maklum, kos dan masa untuk pengujian semula akan meningkat jika pengujian tidak dijalankan dengan betul dan memenuhi kehendak-kehendak standard yang digunapakai.

Skim-skim akreditasi Standards Malaysia juga telah memberikan faedah kepada industri dan pengguna iaitu dari segi penjimatan kos di mana kedua-dua pihak berasa terjamin terhadap produk yang dikehendaki sama ada daripada segi kualiti ataupun keselamatan. Standards Malaysia selaku Badan Akreditasi Kebangsaan memainkan peranannya dengan melaksanakan proses penilaian yang telus bagi memantau kebolehupayaan dan prestasi makmal secara berterusan. Standards Malaysia beroperasi berdasarkan prosedur yang dipersetujui di peringkat antarabangsa di mana tahap profesionalisme dan integritinya adalah dikawal dan dipantau.

Makmal Analisis Kimia Makanan ECER, UniSZA ditubuhkan bertujuan untuk memberi perkhidmatan analisis kepada usahawan di sekitar Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di mana termeterai perjanjian di antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada 30 Januari 2009.

Makmal Analisis Kimia Makanan ECER-UniSZA ini sangat aktif dalam menjalankan perkhidmatan analisis dan khidmat nasihat kepada usahawan dalam industri makanan. Terdapat 7 skop ujian yang ditawarkan iaitu Karbohidrat (Carbohydrate), Protein, Lemak (Fat), Lembapan (Moisture), Abu (Ash), Serat Kasar (Crude Fiber) dan Tenaga (Energy) yang merupakan Maklumat Pemakanan (Nutritional Fact) untuk produk makanan. Dari segi kemudahan peralatan, makmal ini dilengkapi dengan peralatan berteknologi bagi analisis yang ditawarkan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang efisyen kepada pelanggan.

Makmal ini membangunkan skop ujian mengikut standard antarabangsa dengan mematuhi sistem kualiti yang diterima pakai dalam dan luar negara. Dengan adanya makmal bertauliah, pelanggan dan agensi boleh mengambil peluang menggunakan perkhidmatan dan keupayaan yang sedia ada di makmal ini.

Sijil ISO