• Berita
  • Entry Point Project (EPP) 14: Pembangunan Industri Benih di Ladang Tembila Kampus Besut

Entry Point Project (EPP) 14: Pembangunan Industri Benih di Ladang Tembila Kampus Besut

UniSZA telah mengadakan kerjasama antara Jabatan Pertanian dengan syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) bagi projek penyelidikan biji benih dan stok pembiak baka benih kacang panjang yang sesuai dengan tanah dan iklim negara ini bagi tujuan komersil. GWG merupakan syarikat tempatan yang berpengalaman dalam industri tanaman. Ia juga adalah sebuah syarikat peneraju sejak 2013 dalam program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian bawah Projek Permulaan (EPP) 14, iaitu Pembangunan Industri Benih. Matlamat NKEA Pertanian adalah untuk memberi sumbangan kepada peningkatan pendapatan negara kasar (PNK) berjumlah RM21.44 billion menjelang tahun 2020.

Melalui projek ini, GWG telah melatih peserta untuk menanam kacang panjang bagi tujuan penghasilan benih di kawasan Ladang Tembila UniSZA. Dana maksimum yang diperuntukan bagi setiap orang peserta adalah RM50,000.00. Berdasarkan perjanjian, GWG menawarkan jaminan pembelian semula (buy back guarantee) benih yang dihasilkan oleh peserta projek ini dengan harga RM30.00 per kilogram. Setakat ini, usaha penanaman kacang panjang telah dimulakan di Ladang Tembila UniSZA bagi tanah jenis BRIS seluas satu ekar. Lima orang peserta telah terlibat dalam projek ini, iaitu:

  1. Mohd Nozulaidi bin Nordin
  2. Mohd Khairi bin Che Lah
  3. Zakiah binti Mustapha
  4. Siti Sabariah binti Ahmad
  5. Muhammad Muslim bin Mohd Rodi

Laporan benih    Laporan benih 2

Tanaman kacang panjang telah mula ditanam pada 27/3/2017, dan hasilnya mula dituai sejak 18/5/2017. Kacang panjang yang matang dan agak kering telah dituai untuk dijadikan benih. Benih tersebut kemudian dijemur hingga kering di bawah sinar matahari, dikupas dan dijemur lagi. Setelah melalui proses tersebut, biji kacang panjang akan diuji dengan ujian percambahan. Ciri-ciri benih yang baik adalah seperti berikut:

  1. Biji memiliki bentuk yang lebih besar atau sekitar 80% dari biji kacang asal. Biji seperti ini memiliki daya tumbuh yang tinggi.
  2. Biji yang akan dijadikan benih tidak tercampur biji-biji lain yang berasal dari varietas tidak jelas.
  3. Umur benih harus cukup tua.
  4. Benih harus bebas atau tahan dari penyakit dan memiliki daya produksi yang tinggi.