• Berita
  • Program Infaq Ramadhan '1PTj 1 Infaq'

Program Infaq Ramadhan '1PTj 1 Infaq'

Infaq Ramadhan 1

Sempena menyambut Ramadhan 1438 Hijrah, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) telah menganjurkan Program Infaq Ramadhan ‘1 PTj 1 Infaq’ bagi melahirkan rasa kecaknaan dan kepedulian yang tinggi sebagaimana dituntut oleh lslam sebagai satu manifestasi khidmat komuniti kepada golongan asnaf di kawasan sekitar Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut. Sumbangan yang diterima dari setiap PTj UniSZA sama ada barangan ataupun wang tunai amat menggalakkan. Sebanyak 120 hamper bernilai RM70 hingga RM150 telah disediakan bagi tujuan pengagihan kepada golongan asnaf. Pengagihan hamper kepada asnaf dilaksanakan selama 5 hari bermula 4 hingga 8 Jun 2017.

Agihan hamper pada hari pertama (4 Jun 2017) dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha bersama Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi bin A. Latif di Masjid UniSZA bersama Imam Ust. Suhaimi bin Mohamad. Selesai bacaan doa, program diteruskan dengan pengagihan hamper dan kunjungan ke rumah asnaf di sekitar Kuala Nerus. Selain itu, Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada golongan asnaf yang dilawati.

Program hari terakhir diteruskan di sekitar Kampus Besut. Rombongan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hasbullah bin Muhammad, Timbalan Pengarah Kampus Besut yang juga merupakan Penyelaras UCTC di PJIM. Pihak PJIM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua fakulti dan PTj yang menyumbang bagi merealisasikan Program Infaq Ramadhan '1 PTj 1 Infaq' ini.

Infaq Ramadhan 2 Infaq Ramadhan

“Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga,”

(H.R. Tirmidzi no. 807, Ibnu Majah no. 1746, dan Ahmad 5/192).